Dua telapak tangan
menyapu muka bermula dari dahi sehingga bawah dagu serentak dengan kalimah
'Aamiin' diucapkan.. "Taqabbalallahuminna wamingkum
taqabbalyaakarim." Ucap Ayuni dengan tenang.
Ayuni mengengsot ke
kiri lalu tangan kanan mencapai Al-Quran di dalam rak kaca setelah tangan kiri
membuka cerminnya. "Bismillahirrahmanirrahim" diucapkan sebelum
membuka helaian Surah Al-Fatihah.
"A'udzubillaahiminash
shaitonirrajim..Bismillahirrahmanirrahim" Sayup suara lembut Ayuni
mengalunkan Kalam Allah.
Bacaan Ayuni terhenti
disitu. Matanya berkaca. Setitis air matanya jatuh membasahi naskah Al-Quran.Terketar-ketar
tangannya mengesat air mata. Sesekali teresak menahan tangis. Ayuni tertunduk
sambil memejamkan mata. Tangan kanannya meraba-raba menutup naskah Al-Quran.
Degup jantungnya kencang.
"Astaghfirullah...Astaghfirullahalaziiiim"
Ucapnya panjang dengan suara yang tersekat-sekat.
Al-Qurannya
diletakkan kembali ke dalam rak kaca. Niatnya untuk mengalunkan kalimah-kalimah
suci itu terbantut lagi. Dengan keadaan dirinya yang masih lengkap bertelekung,
Ayuni bangun dan melangkah ke arah meja di tepi katil . Buku-bukunya agak
berselerak. Bertindih antara satu sama lain. Ayuni mencapai sebuah diari
berkulit hitam berjalur merah lalu dipeluknya. "Wala takhafu wala
tahzan..Innallah ma'ana." Ayuni berkata-kata sendiri mengingatkan dirinya
supaya 'Jangan takut jangan sedih..Allah sentiasa bersama kita'. Ayuni terduduk
di tepi katil...
* * * * * * * * *
Sayup kedengaran
laungan azan subuh dari Masjid Omar Bin Abdul Aziz. Bunyi titisan air hujan
yang berlumba-lumba menuju bumi menjadikan suasana subuh itu lebih sayu. Pagi
itu ayam jantan segan hendak berkokok. Segan dengan kedinginan subuh yang
mencengkam. Cengkerik-cengkerik yang malamnya riuh bersorak langsung diam.
Subuh itu, muram."Assalamualaikum Solehah." Suara itu sangat dikenali
Ayuni. Suara yang selalu mengejutnya untuk sama-sama mengajak solat subuh
berjemaah.
"Waalaikumussalam
Soleh." Jawab Ayuni pantas lalu mencelikkan mata dan bingkas bangun.
Ayuni kebingungan.
Suara itu tadi sungguh jelas. Ayuni menoleh ke kiri dan ke kanan mencari arah
suara itu dari segenap biliknya. Tangannya masih erat menggenggam diari hitam
berjalur merah. "Astaghfirullahalaziim." Ayuni segera beristighfar
setelah dia sedar bahawa suara itu datang hanya dalam mimpinya.
"Solehku, semoga
Allah sentiasa melindungimu." Ayuni berkata-kata sendirian dalam nada
berbisik sambil memandang ke arah kopiah putih bersebelahan dengan Al-Quran
didalam rak kaca. Ayuni segera melangkah ke bilik air untuk berwudhuk.
"Assalamualaikum
warahmatullah..Allahummainna Nas alukaridhokawaljannah" Lalu memalingkan
wajahnya ke kanan.
"Assalamualaikum
warahmatullah..Waa'uzubikamin sakhotikawannar" lantas memalingkan pula
wajahnya ke kiri.
"Allahummaghfirli
dzunubi" Bisiknya lalu menyapu mukanya dengan telapak tangan kanannya
tanda dia selesai solat subuh.
Selesai sahaja berdoa,
Ayuni tersenyum. Terasa ketenangan hadir menyapa hatinya. Ayuni lantas bangun
dan mempersiapkan dirinya untuk meneruskan ibadah harian, berkerja.
"Bismillahi
tawakkaltu'alallah" Ucap Ayuni sebaik dia melangkah keluar dari rumah.
Tudung bawal berwarna merah hati dikenakan dengan jubah hitam yang kemas
dihiasi manik berkilat berwarna merah. Ayuni terus melangkah menuju pondok di
tepi persimpangan Jalan Masjid. Disitu dia menanti kehadiran sahabat baiknya,
Khairatul.
"Assalamualaikum
Kak Ayu!" Suara kecil itu memecah sunyi pagi yang muram.
"Waalaikumussalam
Deena..Wah! Cantiknya Deena pagi ni.. Meh sayang akak sikit!" Balas Ayuni
dengan mesra. Gadis kecil itu tersipu-sipu menghampiri Ayuni lantas bersalaman
dan mencium pipi Ayuni. Adreena sentiasa menceriakan pagi Ayuni. Masa yang
berlalu tidak pernah terasa begitu lama tatkala menanti kehadiran Khairatul
kerana seronok melayan telatah Adreena yang mesra dipanggil Deena.
"Kak Ayu, kenapa
Abang Khaif tak balik lagi?" Tanya anak kecil berusia tujuh tahun itu
sambil jarinya mengusik-usik bermain butang di lengan baju Ayuni.
Ayuni terdiam.
Wajahnya antara senyum dan muram. Ayuni terbungkam.
"Abang
Khaif kerjalah sayang. Nanti dia baliklah." Sayu suara Ayuni seakan
memujuk. Memujuk hatinya sendiri walau soalan yang sama bermain di fikiran.
Adreena seakan-akan
faham air muka Ayuni yang berubah. Minda kecilnya terdetik mencari akal.
"Abang Khaif ni mesti kerja kuat nak belikan Deena bebear baru kan? Deena
tau daaah. Terer tak Deena teka?" Adreena dengan petahnya mencuit hati
Ayuni.
"Waaah! Terernya
Deena!" Balas Ayuni ceria. Sememangnya itulah jawapan yang diajar oleh
Uncle Lam sekiranya ditanya dengan soalan "Terer tak Deena?". Uncle
Lam sering memanjakan Adreena setiap kali dia berkunjung ke rumah keluarga
Adreena. Ayuni mengenali Uncle Lam kerana Khaif adalah sahabat baik Uncle Lam
sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Walaupun sebaya dengan Khaif, Uncle Lam
dipanggil dengan panggilan 'Uncle' kerana Uncle Lam merupakan adik kepada ibu
Adreena.
"Yeay!! Kak Ayu!
Kak Atul dah sampai dah tu..Deena nak duduk depan boley?" Pelat Adreena
masih ada pada sesetengah perkataan bila bertutur.
"Budak techik
tak boley duduk depanla." Balas Ayuni mengajuk pelat Adreena sambil
mencebikkan bibir mengusik Adreena.
* * * * * * * * *
28 January 2011. 5.30
Petang.
"Bismillahirrahmanirrahim"
Kalimah suci itu dilafazkan Khaif tanda dia sentiasa mencari keberkatan dalam
setiap perlakuannya. Pintu kereta dibuka. Kunci kereta dimasukkan kedalam
lubang kunci selepas Khaif selesai melaraskan tempat duduknya. Suis tingkap
automatik ditekannya bagi menurunkan tingkap. Anak kunci diputarkan mengikut
arah jam bagi menghidupkan enjin.
"Bismillahi
Majreha Wamursaha Innarobbi La Ghafururrahim" Ringkas bacaan doanya ketika
dia memulakan perjalanan. Butang bertanda 'PWR' ditekan pada radio keretanya
dan sejurus itu, kedengaran bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Syeikh Saad
Said Al-Ghamidi. Surah yang dibacakan ketika itu adalah Surah Dhuha. Gerakan
bibir Khaif lancar mengikuti bacaan surah itu tetapi tidak bersuara.
"InsyaAllah..InsyaAllah..InsyaAllah..You'll
find your way" Telefon bimbit Khaif tiba-tiba berbunyi sekaligus
menghentikan gerak bibir Khaif yang sedari tadi mengikut bacaan Kalamullah di
radionya. Khaif memasangkan 'handsfree' bagi memudahkan dia menjawab panggilan.
Nama Tuan Amel tertera di telefon bimbitnya.
"Hello..Assalamualaikum
Tuan." Khaif menyambut panggilan.
"Waalaikumussalam..Khaif,
boleh kau patah balik ke office tak? Urgent!" Nada Tuan Amel agak tegang
dan serius lalu memutuskan panggilan tanpa menunggu jawapan Khaif...
* * * * * * * * *
"InsyaAllah
Tuan.." Berat nafasnya ketika memberi jawapan. Khaif menarik nafas
sedalamnya lalu dihembuskan setenang yang mungkin. Riak wajahnya tidak
menampakkan sebarang emosi. Khaif berusaha menidakkan gundah di hatinya.
"Sehingga hujung
tahun ni, kau settlekanlah apa-apa yang patut. If you need anything, just let
me know. I'll get it done. No worries Khaif." Tuan Amel cuba untuk melakar
senyum di wajah Khaif walaupun peribadinya seorang yang agak tegas dan garang.
Tuan Amel seorang ketua yang sangat bertanggungjawab. Dalam perwatakannya yang
sebegitu, tersembunyi seorang insan yang lembut hatinya.
Jaminan Tuan Amel
sedikit sebanyak memberi harapan kepada Khaif. Tugasan kali ini sememangnya
tugas yang memerlukan pengorbanan yang besar dalam hidupnya. Khaif dengan wajah
yang tenang menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Tuan Amel. "Saya
mintak diri dulu Tuan. Memang ada perkara saya hajatkan sebelum berangkat.
InsyaAllah esok saya beritahu Tuan." Kata-katanya terluah dengan nada yang
agak ceria.
* * * * * * * * *
Sambil berjalan
menuju ke arah kereta, Khaif mencapai telefon bimbit di dalam poket kanan
seluarnya lalu membuat panggilan. Panggilan itu berjawab sebaik sahaja Khaif
selesai duduk di tempat duduk pemandu. "Hello..Assalamualaikum."
Suara lembut itu membuatkan Khaif tersenyum.
"Waalaikumussalam
warahmatullah. Awak sihat?" Sopan khaif menjawab salam dan memulakan
perbualan.
"Alhamdulillah
sihat. Demam apa awak ni? Tiba-tiba je call saya." Ayuni menzahirkan kehairanannya
kerana Khaif jarang sekali berhubung sejak mereka tamat pengajian di
universiti. Boleh dikatakan hanya setahun sekali. Itu pun sekadar mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri sahaja.
"Haaa.. Kalau
tak call ni yang boleh buat saya demam ni!" Khaif sengaja biarkan Ayuni
tertanya-tanya.
"Apa awak
ni?Awak... kalau rasa nak demam, call la doktor ke, nurse ke, ada jugak kaitannya.
Saya ni kerani sekolahlah. Kalau jumpa doktor, at least awak kena suntik ubat.
Kalau jumpa saya, saya stapler je!" Balas Ayuni panjang dengan nada ceria
dan sedikit tertawa. Mereka sememangnya sahabat baik dan selalu bergurau ketika
sama-sama melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
Khaif sedikit tertawa
dan akhirnya mendiamkan diri seketika. "Bismillahirrahmanirrahim.. Awak,
izinkan saya jadi imam tetap dalam hidup awak.. Rasanya dah sampai masa untuk
saya 'bermakmum'."
Bersambung...
Airiel, 2012.
No comments:
Post a Comment